Tuesday 12 July 2011

Mutaah & Eddah

Mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami, Allah swt telah menyatakan :
“Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah antara kamu (segala sesuatu) dengan baik dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya”.

( Surah at-Talak : 6 )

Demikian Allah memberi panduan mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami. Ini bermakna tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak bukan sahaja semasa hidup bersama tetapi juga selepas bercerai dengan isteri.

Hak-Hak Isteri Selepas Bercerai

Seseorang wanita yang diceraikan oleh suaminya boleh membuat beberapa tuntutan atas bekas suaminya di Mahkamah Syariah. Tuntutan-tuntutan itu ialah :

i. Tuntuan Mutaah
Mutaah ialah sejumlah harta di mana suami wajib memberi kepada bekas isterinya yang pernah disetubuhi jika perceraian itu bukan berpunca dari isteri dan bukan kematian suami. Dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat mengenai Mutaah:
“ Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) Mutaah menurut yang ma’aruf sebagai suatu kewajiban bagi orang-orang yang bertaqwa”.
(Surah Al-Baqarah : 241)

Dalam ayat yang lain pula Allah swt menyatakan:
“Tidaklah kamu bersalah jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka atau sebelum kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi Mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka iaitu suami yang senang menurut kemampuannya dan suami yang miskin menurut kemampuannya sebagai pemberian saguhati menurut yang patut lagi menjadi satu kewajiban atas orang-orang yang mahu berbuat kebajikan”.
(Surah Al-Baqarah : 236)

Firman Allah swt :
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman kemudian kamu ceraikan mereka sebelum menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang eddah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah Mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka dan lepaskan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya”.
(Surah Al-Ahzab : 49)

Mutaah itu boleh sama ada berbentuk pakaian, barang-barang atau wang sesuai dengan keadaan dan kedudukan suami. Islam tidak menetapkan kadar mengenai Mutaah ini. Dasar penetapannya bergantung kepada keredhaan dan persetujuan suami isteri. Walau bagaimanapun, jika kadarnya menjadi pertelingkahan suami isteri, maka Mahkamah Syariah akan memutuskan kadar yang patut berdasarkan kemampuan suami.
Dalam kes Tengku Anum Zaharah lwn Dato Dr. Hussein (1980, Jld.3 J.H.) Peguam bagi pihak menuntut (isteri) telah merujuk kepada kes Hasan bin Ali bin Abi Talib yang mana semasa beliau menjadi khalifah telah menceraikan isterinya dan memberi 10,000 dinar sebagai Mutaah. Peguam iu berhujah pihak yang kena tuntut (suami) seorang yang berkemampuan. Yang Arif Kadi Besar selangor (pada masa itu) telah merujuk surah Al-Ahzab ayat 49 dan memutuskan pihak yang menuntut (isteri) berjaya menuntut Mutaah sebanyak RM25,200 sebagaimana yang dituntutnya.

Apa yang nyata berdasarkan kes ini, walaupun seseorang wanita itu mempunyai pendapatan yang baik, ia tetap menuntut haknya kerana perceraian itu atas kehendak suami.

Dalam Islam pemberian Mutaah ini bertujuan:
1. Seseorang isteri lazimnya bergantung hidup kepada suami. Oleh itu apabila ada pemberian Mutaah ini, maka bekas isteri bolehlah menggunakannya sebagai modal untk berdikari dan memulakan hidup baru selepas bercerai.
2. Menghilangkan rasa malu dan prasangka buruk terhadap isteri. Pada kebiasaaannya terdapat anggapan masyarakat bahawa seseorang wanita yang diceraikan kerana ada sesuatu aib pada dirinya. Oleh itu pemberian Mutaah itu bermakna perceraian itu bukan berpunca dari bekas isteri.
3. Untuk menentukan perceraian itu dibuat secara baik dan sebagai penghargaan suami terhadap isteri atas sumbangan dan peranan yang diberikan oleh isteri.

ii. Tuntutan Nafkah Eddah
Seseorang isteri yang diceraikan oleh suami selepas disetubuhi, wajib bereddah. Hikmah bereddah ialah supaya dalam waktu eddah talak rajie ini, suami dan isteri itu berfikir panjang dan merasa bagaimana pahit getirnya perceraian. Walau bagaimanapun, bagi seseorang isteri yang diceraikan dalam talak rajie berhak mendapat nafkah dengan syarat:
a. Isteri itu diceraikan secara talak rajie (talak yang boleh dirujuk), dalilnya ialah Nabi Muhammad saw bersabda,
“Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya”.
(Riwayat Ahmad dan An-Nasa’i)
Pendapat ini adalah sepakat mazhab empat.
b. Isteri yang hamil yang ditalak dengan talak bain (tidak boleh dirujuk) berhak juga mendapat nafkah sehingga anak itu lahir. Ini berdasarkan firman Allah swt:
“Kalau mereka itu hamil, maka berilah nafkah keapda mereka hingga mereka melahirkan anaknya”.
( Surah At-Talaq: 6)
Fuqaha bersepakat dalam perkara ini di mana perempuan itu berhak mendapat nafkah, pakaian dan tempat tinggal hingga anak itu lahir.
Seseorang isteri yang mengandung sememangnya menghadapi keletihan dan tekanan perasaan memikirkan tentang kesempurnaan bayi kandungannya. Apabila berlaku perceraian kesannya akan menambahkan lagi penderitaan di mana kemungkinan besar memberi kesan kepada kesempurnaan bayi dan menganggu kesihatan si ibu. Oleh itu sebagai langkah untuk mengurangkan tekanan perasaaan dan menjaga kepentingan anak dalam kandungannya maka Islam memutuskan bahawa perempuan hamil walaupun diceraikan secara talak bain berhak juga mendapat nafkah eddah.
c. Perempuan tidak hamil yang diceraikan secara talak bain, tidak berhak mendapat nafkah, pakaian dan tempat kediaman. Ini adalah pendapat Jumhur Fuqaha dengan alasan ketika nabi Muhammada saw mengulas mengenai talak tiga ia menyatakan:
“Tidak ada hak untuknya bagi tempat kediaman dan nafkah”.
(Riwayat Ahmad dan Muslim)
Walau bagaimanapun, menurut Hanafi perempuan dalam kes ini berhak mendapat nafkah kerana Allah swt berfirman:
“Berikanlah mereka itu tempat kediaman sebagaimana tempat kediaman kamu dari kekayaaan kamu”.
(Surah At-Talak : 6)
Menurut Hanafi kehendak ayat ini adalah umum sama ada perempuan itu dalam eddah talak rajie atau talak bain semuanya mendapat nafkah.
d. Isteri yang dalam eddah kerana kematian suami tidak berhak mendapat nafkah eddah meskipun ia dalam kaeadaan hamil. Mengenai perkara ini Nabi Muhammad saw menjelaskan:
“Tidaklah mendapat nafkah bagi perempuan hamil yang kematian suami”.
(Riwayat Darul-Qutni)
Pendapat ini adalah sepakat Fuqaha kerana pada kebiasaaannya seseorang yang diceraikan kerana kematian suami boleh membeuat tuntutan pusaka ke atas harta peninggalan suami dan tanggungjawab suami itu dianggap terhapus.
e. Isteri hendaklah taat dan patuh kepada suami iaitu isteri tidak nusyuz. Menurut kitab Kifayah Al-Akhyar Juz 29 halaman 48 menyatakan:
“Apabila seseorang isteri nusyuz maka gugurlah hak isteri untuk menerima nafkah, pakaian dan giliran”.
Dalam kes Syarifah Sapoyah lwn Wan Alwi (1988 Jld. VI-II J.H.) Yang Arif Kadi Besar Sarawak Awang Pon bin Awang Sebon ketika memutuskan kes itu berhubung dengan tuntutan nafkah eddah menyatakan:
“Menurut Hukum Syarak seseorang isteri yang telah diceraikan oleh suaminya berhak mendapat nafkah eddahnya sekiranya seseorang isteri itu diceraikan dengan talak rajie atau dengan talak bain sedangkan si isteri mengandung dan isteri tersebut tidak melakukan perbuatan yang dianggap nusyuz. Dalilnya ialah:
“Dari Fatimah binti Qais bahawa Rasulullah saw menyatakan hanya perempuan yang berhak mengambil nafkah dan rumah kediaman bekas suaminya apabila suami berhak rujuk kepadanya”.
(Riwayat Ahmad dan An-Nasa’i)
Menurut kitab Al-Fiqhu ‘Ala Mazahib Al-Arba’ah Juzuk 4 karangan Abdul Rahman Al-Jazini menerangkan :
“Isteri yang ditalak rajie wajib mendapat hak nafkah eddah tidak kira sama ada ia merdeka, hamba, mengandung atau tidak mengandung”.
Menurut Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Noor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978 Jld. 1 J.H.) menyatakan:
“Hak nafkah eddah jika tidak dijelaskan semasa edddah maka ia menjadi hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya. Tetapi tempat kediaman jika tidak dituntut semasa dalam eddah maka hak itu terluput”, berdasarkan pandangan kitab Kifayah Al-Akhyar Juz 2 halaman 85 ;
“Jika sebahagian atau keseluruhan masa eddah telah berlalu dan isteri (yang diceraikan) tidak menuntut hak tempat tinggal maka gugurlah hak itu dan tidak menjadi hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya”.
Ini bermakna seseorang isteri yang diceraikan berhak mendiami tempat tinggal dan mendapatkan nafkah dari bekas suaminya dalam tempoh eddah berdasarkan syarat-syarat di atas.

No comments:

Post a Comment